TEMPAT PERCUTIAN DI TERENGGANU
Tasik
Kenyir
Tasik Kenyir merupakan tasik buatan manusia yang terbesar di
Asia Tenggara yang terletak di sempadan negeri Pahang dan Kelantan.Hutan Simpan
Tembat, Petuang, Hulu Telemong dan UluTerengganu merupakan hutan-hutan simpan
yang berada di dalam kawasan Tasik Kenyir.Antara air terjun yang menjadi
tarikan utama di sini ialah Lasir, Saok, dan Tembat.
Air Terjun Sekayu
Salah satu tempat menarik di Terngganu yang harus anda
kunjungi bagi menikmati keindahan alam semulajadi. Kawasan air terjun Sekayu
yang menjadi tumpuan penduduk tempatan terutamanya pada hari jumaat dan cuti
awam ini, terletak 56 km selatan – barat Kuala Terengganu, berdekatan Kuala
Berang.
Pantai Batu Buruk
Pantai Batu Buruk di bandar Kuala Terengganu pula dilengkapi
taman permainan, bangku dan gazebo, menjadikannya sebagai tempat pertemuan dan
menjamu selera yang terkenal di kalangan penduduk tempatan. Terdapat banyak
gerai yang menjual makanan dan minuman yang pelbagai rasa.
Pulau Redang
Pulau Redang menyediakan paling banyak kemudahan percutian
dan penginapan, termasuk dua pusat peranginan besar dan beberapa chalet lebih
kecil yang terletak di tepi pantai. Pulau Redang terkenal kerana keindahan
pantainya dan tempat-tempat menyelam yang menarik. Pelawat boleh menerokai 31
tapak menyelam, menyertai sukan pantai, berpesta dan menari sepanjang malam di
Pasir Panjang, mendapatkan rawatan spa dan menikmati barbeku makanan laut yang
segar. Anda boleh menaiki bot atau pesawat untuk ke pulau ini.
TEMPAT PERCUTIAN DI KELANTAN
Pasar Besar Siti Khadijah
Nama asal Pasar Besar Siti Khadijah ialah Pasar Besar Buluh Kubu. Walaubagaimanapun ia telah ditukar namanya kepada nama ini oleh Menteri Besar Kelantan iaitu Y.A.B Dato' Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat sebagai tanda penghormatan kepada kaum Hawa, memandangkan majoriti peniaganya terdiri daripada golongan wanita.
Satu pemandangan yang unik di pasar-pasar di Kelantan ialah peniaganya yang rata-rata terdiri daripada kaum wanita yang terkenal dengan minat berniaga .
Pasar ini mempunyai 4 tingkat dan berbentuk segi lapan. Tingkat bawah dikhususkan untuk barangan basah seperti ikan, sayur-sayuran, ayam dan sebagainya. Tingkat 1 pula diperuntukkan kepada barangan makanan kering seperti serunding, iaitu sejenis makanan Kelantan yang sangat terkenal. Juga terdapat Ayam percik, ikan percik, nasi kerabu, nasi berlauk, nasi dagang, laksam dan somtam merupakan antara makanan yang paling "tersohor" bagi rakyat negeri Kelantan. Kuih tradisional Kelantan seperti kuih "tahi itik, akak, jala mas, buah tanjung, serabe, tepung pelita, dan pelbagai lagi kuih lain yang juga dijual di sini. Manakala tingkat 2 dan 3, untuk barangan bukan makanan.
Pasar ini terletak bersebelahan dengan Bazar Buluh Kubu.
Pasar Borong Wakaf Che Yeh
Menjadi tumpuan utama pengunjung tempatan dan luar pada setiap hari. Pasar ini menjalankan aktiviti perniagaan secara harian di mana pada sebelah pagi hingga tengahari aktiviti perniagaan tertumpu kepada aktiviti penjualan barang keperluan harian termasuklah barangan basah manakala pada sebelah malam hingga ke awal pagi pula aktiviti perniagaan pula tertumpu kepada aktiviti penjualan barangan berbentuk pakaian dan cenderamata.
Bazar Buluh Kubu
Basar Buluh Kubu terletak bersebelahan dengan Pasar Besar Siti Khadijah. Ia mempunyai 4 aras dan satu aras bawah khusus untuk meletak kenderaan. Bazar ini menjual pelbagai barangan seperti barangan hasil kraftangan, kain dan baju batik, songket, cenderamata, pakaian dan sebagainya. Medan Selera pula terletak di tingkat paling atas.
Selain menjual pakaian, makanan dan barangan dapur, beranika barang perhiasan seperti perak, tembaga dan barangan ukiran kayu juga boleh didapati di sini.
Pantai Cahaya Bulan
Pantai Cahaya Bulan merupakan salah satu pantai yang terkenal di negeri Kelantan, Malaysia. Ia terletak kira-kira 10 km dari Kota Bharu. Pada suatu ketika, pantai ini dinamakan Pantai Cinta Berahi, suatu nama yang dikatakan diberi oleh seorang askar British ketika dia di pantai ini pada masa Perang Dunia II. Pada masa itu, askar tersebut sedang menderita kerana cintanya tidak berbalas. Sesetengah orang tempatan masih menggunakan nama lama ini pada hari ini, walaupun mereka lebih suka merujuk kepada pantai ini sebagai PCB.Persisiran pantai ini adalah sejauh 1.2 kilometer. Pantai ini terkenal kerana kawasannya panjang dan lebar, dengan pasir yang cantik dan air yang jernih. Deretan pokok ru dan pokok kelapa pula menambahkan lagi kecantikan pantai ini. Oleh itu Pantai Cahaya Bulan telah menjadi tempat perkelahan yang popular di kalangan keluarga-keluarga tempatan, khususnya pada hujung minggu. Pantai ini lengkap dengan kemudahan untuk para pengunjung, terdapat pilihan hotel, chalet, kawasan perkhemahan, kedai makan dan gerai, dan tandas awam.Perjalanan ke pantai ini dari Kota Bharu akan membawa pengunjung melalui satu pekan Melayu tradisional. Ini adalah kawasan kraftangan yang penting di negeri untuk pencetakan batik, penenunan songket, dan pembuatan layang-layang serta loyang.
Gunung Chamah
Gunung Chamah ialah sebuah gunung terpencil yang terletak di Hutan Belum, Kelantan, Malaysia. Tingginya 2,171 meter. Gunung Chamah mempunyai hutan Dipterokarp Bukit, hutan Dipterokarp Atas, hutan Montane, dan Hutan Ericaceous atau hutan gunung. Terdapat banyak flora di gunung ini yang mempunyai nilai perubatan.
Disebabkan lokasinya, hutan di Gunung Chamah adalah hutan dara, dengan tamadun terdekat terletak 40-50 kilometer dari tempat ini. Penggembaraan berjalan kaki memerlukan pemandu yang berpengalaman. Hubungan tunggal dengan dunia luar ialah perjalanan perahu selama tiga jam melalui Tasik Temenggur.
Tasik Temenggur dibentukkan pada tahun 1970-an ketika kerajaan Malaysia membina sebuah empangan di Sungai Temenggur dan menenggelami sebahagian hutan. Masih terdapat banyak orang asli yang tinggal di hutan ini. Mereka menggunakan Tasik Temenggur yang mengaitkan Grik dengan Pos Kemar sebagai sistem pengangkutan utama mereka.
Gunung Stong
Gunung Stong merupakan salah satu gunung tertinggi di Kelantan dengan ketinggian 1,442 meter. Gunung Stong terletak di Hutan Simpan Dabong, Kelantan. Gunung Stong menyediakan hutan yang menarik dan mengasyikkan yang penuh dengan khazanah alam, hidupan liar seperti gajah.Gunung Stong menempatkan salah satu air terjun yang merupakan kelima dalam senarai 10 tempat yang menarik dan tertinggi untuk ekotourism di Malaysia. Gunung Stong memang tersohor dengan Air Terjun Jelawang yang tingginya 305 meter dan tidak mustahillah air terjun ini merupakan tertinggi di Asia. Antara panorama-panorama yang menarik sekitar Gunung Stong ialah:Gunung Ayam yang terletak bersebelahan Gunung Stong di Hutan Simpan Dabong. Suasana dalam hutan ini sungguh mengasyikkan dengan kicauan burung dan unggas-unggas tetapi ia juga merupakan habitat bagi haiwan-haiwan liar seperti gajah dan harimau.Ketinggian Gunung Ayam ialah 1504 meter iaitu 70 meter lebih tinggi dari Gunung Stong. Sekiranya perjalanan untuk menawan puncak Gunung Stong memakan masa selama 3-4 jam, Gunung Ayam pula memerlukan masa tambahan sebanyak 4-5 jam untuk sampai ke puncak. Namun untuk menempuhi perjalanan seharian ia memakan masa sekurang-kurangnya 9 jam.Pendakian ke puncak Gunung Ayam penuh dengan cabaran. Ia memerlukan kesihatan fizikal dan mental yang baik. Jalan-jalan yang harus ditempuhi penuh dengan ranjau yang menggugat kesabaran, namun pendaki-pendaki akan disajikan dengan udara sejuk yang nyaman dan segar. Sekiranya anda ingin berkhemah di puncak Gunung Ayam, jangan lepaskan peluang menikmati keindahan panorama matahari terbit yang membelah langit biru yang dipenuhi dengan gumpalan-gumpalan awan.Setelah penat pendakian yang ditempuhi, anda akan sampai ke air terjun Gunung Stong untuk menikmati airnya yang sejuk dan dapat menghilangkan kepenatan.
Jeram Lenang
Jeram Linang (kadang-kadang ditulis Jeram Lenang) merupakan salah satu kawasan rekreasi hutan lipur dan air terjun yang terkenal di Kelantan. Jeram Linang terletak di Hutan Simpan Ulu Sat, dalam Jajahan Machang, Kelantan dan dihubungi dengan jalan raya bertar. Pengunjung boleh ke sana dengan menaiki kereta persendirian dan teksi.
Sejarah:- Mengikut sejarah, Jeram Linang merupakan antara kawasan air terjun yang terawal dibangunkan sebagai kawasan rekreasi orang ramai di Kelantan. Air terjun Jeram Linang adalah dari jenis air terjun bertingkat setinggi 12 meter dan menjadi tumpuan orang ramai dari kawasan Pasir Puteh, Machang, Kota Bharu dan Jerteh, Terengganu.
Kemudahan:- Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Daerah Machang telah membina banyak kemudahan seperti tempat letak kereta, surau, wakaf rehat, tandas awam, restoran dan gerai, chalet dan tapak perkhemahan.
Jaringan jalan raya yang baik telah dibina oleh pihak kerajaan bagi memudahkan para pegunjung melawat Jeram Linang. Jeram Linang terletak kira-kira 10 kilometer dari Bandar Pasir Puteh (melalui jalan Pasir Puteh - Machang) dan 15 kilometer dari Bandar Machang (melalui jalan Machang - Wakaf Linchong).
GENTING HIGHLAND
Kota
Keriangan yang terletak di puncak Genting Highlands yang sejuk dan berangin ini
menawarkan keriangan dan keseronokan tanpa henti. Salah satu tarikan utama di
Genting Highlands ialah cuacanya yang sejuk dan nyaman. Oleh sebab kedudukannya
yang terletak 2,000m dari paras laut, warga Malaysia gemar datang ke sini
semata-mata untuk menikmati cuaca nyaman seakan-akan di Eropah!
Pada waktu petang, persembahan-persembahan hebat diadakan di
Pavilion atau Pentas Pertunjukan Antarabangsa Genting, sama ada pertunjukan
silap mata yang mengelirukan atau pun persembahan luncur ais yang hebat.
Pelawat juga boleh pergi membeli-belah di First World Plaza, melawat taman
tema, dan menikmati pelbagai jenis makanan yang disediakan di restoran-restoran
yang terdapat di sini.
Snow World pula merupakan sebuah rumah kabin kayu, sebuah
igloo, permainan luncur ais dan kawasan permainan yang bersalji. Kawasan Snow
World memang sejuk, oleh itu, jangan lupa memakai pakaian yang tebal.
Kanak-kanak pasti sukakan Kolam Air Hutan Hujan, walaupun keadaan cuaca di sini
agak sejuk, air di dalam kolam ini sentiasa hangat.
Antara tarikan lain yang terdapat di sini termasuk Genting
Sky Venture, satu-satunya alat kemudahan yang memberikan pengalaman berpayung
terjun yang terdapat di Asia, dan Genting X-pedition Wall, sebuah tembok
pendakian bertaraf antarabangsa setinggi 15 meter dengan tebing terjuntai
sepanjang 6 meter. Lain-lain tarikan di sini termasuk kemudahan bermain
bowling, arked video, pawagam cineplex dan macam-macam permainan lain yang
pasti menyeronokkan. Salah satu tarikan utama di sini ialah kasino yang merupakan
satu-satunya kasino di Malaysia.
CAMERON HIGHLAND
Iklim sejuk, ladang strawberi dan teh serta bangunan gaya
Tudor di stesen peranginan tanah tinggi terbesar di Malaysia pasti menawan hati
pelancong. Terdapat pelbagai aktiviti untuk anda nikmati di Tanah Tinggi
Cameron, pusat peranginan tanah tinggi yang terbesar di Malaysia.
Bersiar-siar melalui perkampungan yang menarik, melawat
taman rama-rama, ladang lebah dan strawberi serta ladang teh yang terhampar
luas atau nikmati makanan lazat yang dihidangkan di restoran gaya Tudor - semua
aktiviti yang menyeronokkan dan menenangkan tersedia di sini untuk anda.
Cuaca nyaman di sini memang tidak dapat ditandingi. Luangkan
beberapa hari di sini, jauh dari kehangatan cuaca di tanah rendah dan anda
pasti kembali segar untuk percutian anda seterusnya. Salah satu aktiviti
popular di Tanah Tinggi Cameron atau Cameron Highlands ialah menikmati hidangan
air teh dan biskut 'scone'.
Tradisi asli Inggeris ini bermula di zaman penjajahan
British apabila para pegawai Inggeris menggunakan lokasi di tanah tinggi ini
sebagai tempat berehat yang jauh dari kehangatan cuaca di tanah rendah.
Aktiviti memerhati burung dan menyusuri trek di hutan juga amat popular di kalangan
pelawat di sini.
Tanah Tinggi Cameron yang terletak 1,500 meter dari aras
laut mempunyai beberapa buah pekan kecil seperti Ringlet, Tanah Rata,
Brinchang, Tringkap, Kuala Terla dan Kampung Raja. Tempat ini juga mudah
dikunjungi.
Anda boleh tiba di Tanah Tinggi Cameron kurang dari sejam
perjalanan melalui Lebuhraya Utara-Selatan atau kira-kira 3 1/2 jam perjalanan
sekiranya anda memandu dari Kuala Lumpur.
PULAU TIOMAN
Pulau Tioman merupakan destinasi percutian yang paling
mempesona di Laut China Selatan, terletak kira-kira 56km dari pantai negeri
Pahang. Tersohor sebagai salah sebuah destinasi percutian pulau yang terhebat
di dunia, Pulau Tioman pernah menjadi lokasi penggambaran filem muzikal
Hollywood, 'South Pacific' pada tahun 1959.
Menurut cerita legenda, pulau ini merupakan tempat tinggal
puteri naga dongengan. Perairan yang suam dan jarak penglihatan yang tinggi di
bawah laut menjadikan Pulau Tioman destinasi popular di kalangan penyelam.
Saksikan pemandangan yang mengagumkan termasuk karang lembut Gorgonian, karang
Staghorn, 'nudibranch' dan pelbagai bentuk hidupan laut yang indah. Penyelam
berpeluang berenang di sisiikan Napoleon Wrasse yang besar, ikan Golden Striped
Trevally, Bumphead Parrotfish dan kumpulan ikan Fusiliers.
Terdapat beberapa buah perkampungan di sepanjang pantai di
sekeliling pulau ini, antaranya Kampung Salang, Tekek, Genting, Paya dan Juara.
Setiap kampung menawarkan suasana yang berbeza dan unik. Kawasan pedalaman
Pulau Tioman yang berhutan juga menjadi tempat tinggal pelbagai jenis tumbuhan
dan haiwan kecil termasuk rama-rama, mengkarung, rusa dan monyet.
Tumbuhan dan haiwan liar yang terdapat di Pulau Tioman juga
pernah dipaparkan di dalam dokumentari National Geographic. Formasi batu granit
yang membentuk pulau ini menjadikannya lokasi yang hebat untuk aktiviti
memanjat batu. Bagi mereka yang lebih berani, boleh mencuba memanjat tebing
Gunung Nenek Semukut (juga bergelar Dragon's Horns). Berjaya Tioman Beach, Golf
& Spa Resort menawarkan tempat penginapan yang mewah, berlatarbelakangkan
pemandangan bukit-bukau yang beralun.
Jika anda gemar berjalan kaki, anda perlu mencuba laluan
merentas pulau yang bermula dari Kampung Tekek di sebelah barat hingga ke
Kampung Juara di sebelah Timur. Perjalanan ini boleh disempurnakan dengan mudah
dan menawarkan pemandangan pantai serta hutan di kedua-dua belah Pulau Tioman.
Dari Johor Bahru, gunakan Lebuhraya Tebrau dan pandu menuju
ke Mersing menerusi Kota Tinggi. Dari Kuala Lumpur, gunakan Lebuhraya Karak
menerusi Temerloh, Kuantan, Pekan, Kuala Rompin,Tanjung Gemuk ke Mersing. Anda
juga boleh menggunakan Lebuhraya PLUS dari Kuala Lumpur menerusi Seremban,
Bahau, Muadzam Shah, Kuala Rompin, Tanjung Gemuk ke Mersing.
No comments:
Post a Comment